Categories
AGENDA NASIONAL

Kursi Menteri Besar Selangor ditubuh, perkasa pendidikan tinggi

SHAH ALAM, 30 OKT: Sejumlah RM5 juta diperuntuk bagi penubuhan Kursi Profesor yang dinamakan sebagai Kursi Menteri Besar Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha bagi memperkasa pengajian tinggi dibuat dengan kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar dan Universiti Putra Malaysia.

“Kerajaan Negeri optimis penubuhan kursi ini akan memperkasa pendidikan tinggi Selangor dalam aspek kajian dan penyelidikan ekonomi, kewangan serta keusahawanan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan Selangor 2021 di sini.

Beliau berkata sebanyak RM8 juta turut diperuntuk kepada Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor, manakala RM1 juta bagi program khas Bitara.

Amirudin berkata semua peminjam di bawah Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor turut diberi kemudahan moratorium secara automatik berikutan krisis pandemik Covid-19.

“Moratorium ini diberikan selama enam bulan bermula April yang memanfaatkan 3,991 peminjam dengan jumlah pinjaman RM6 juta,” katanya lagi.