Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih RM42 juta bina 32 projek tebatan banjir tahun depan

SHAH ALAM, 24 OKT: Selangor memperuntuk RM42.75 juta bagi projek rancangan tebatan banjir di seluruh negeri sepanjang tahun depan.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata ia membabitkan 32 projek di semua daerah dan peruntukan terbesar disalur kepada Sepang iaitu RM20 juta.

“Ia disusuli Gombak dan Petaling masing-masing dengan RM7 juta, Klang (RM5.3 juta), Hulu Langat (RM1.5 juta), Sabak Bernam (RM950,000), Kuala Langat (RM500,010) dan Hulu Selangor (RM500,000).

“Kerajaan Negeri terus fokus untuk menaik taraf sistem pengairan dan saliran di negeri ini, juga pada masa sama mengurangkan kejadian banjir sekali gus penduduk lebih selesa,” kata Ir Izham Hashim kepada SelangorKini.

Izham turut berkata 23 projek rancangan tebatan banjir dan menaik taraf sistem saliran menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 siap sepenuhnya di Telok Gadong Klang, Pulau Meranti Sepang, Sungai Rawang, Sungai Cemubung Gombak dan Sungai Kandis.

“Sementera itu masih terdapat sebanyak 15 projek yang masih giat menjalankan kerja naik taraf namun dijangka siap pada tahun ini juga,” katanya.

Sebelum ini, Belanjawan #Selangor2020 turut memperuntukkan RM84.4 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor dalam usaha mengurangkan kejadian banjir yang sering berlaku di negeri ini.

Daripada jumlah itu, RM52.19 juta diperuntuk bagi pembangunan projek tebatan banjir, menaik taraf saliran (RM26.84 juta), pembangunan lembangan sungai (RM700,00) dan pembangunan sumber air serta hidrologi (RM960,000).