Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB lawat loji, jangka pencemaran bau pulih petang ini

SHAH ALAM, 19 OKT: Pencemaran bau di loji rawatan air (LRA) dijangka pulih petang ini jika keadaan semakin baik dan bekalan air ke kawasan terjejas akan disalur secara berperingkat.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam satu kenyataan menyebut LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 merekodkan bacaan satu TON (nilai bau ambang), manakala LRA Rantau Panjang mencatat sifar TON.

TON ialah unit ukuran kadar pencairan yang diperlukan untuk menghilangkan bau di dalam air.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha memulihkan pencemaran di empat LRA sedang giat dilaksanakan.

“Mengikut trend bacaan semasa, pencemaran dijangka pulih pada petang ini. Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat selepas itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau kerja-kerja pemulihan bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 berikutan pencemaran bau yang yang dikesan pada awal pagi, 19 Oktober 2020. Foto Facebook Amirudin Shari

“Laporan polis telah dibuat berhubung kes pencemaran. Siasatan sedang dilaksanakan,” maklum Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Terdahulu, beliau melawat muka sauk Sungai Selangor Fasa 2 untuk meninjau kerja-kerja pemulihan bekalan air berikutan pencemaran yang dikesan awal pagi ini.

Sementara itu, Amirudin berkata sebanyak 81 lori tangki air, 34 tangki statik dan 17 pusat khidmat setempat digerakkan oleh Air Selangor untuk pengguna yang terjejas.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.

Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan meliputi wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.