Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Paip pecah: 455 kawasan terima bekalan air

SHAH ALAM, 18 OKT: Sebanyak 455 daripada 686 kawasan yang mengalami gangguan bekalan air ekoran henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pulih sepenuhnya setakat 9 malam tadi.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri kawasan yang pulih ialah Gombak, Hulu Selangor, Petaling, Klang dan Kuala Lumpur.

“Tahap pemulihan bekalan air mencapai tahap 63 peratus.

“Peratusan pemulihan mengikut kawasan, bekalan air di Gombak pulih 96 peratus, Hulu Selangor (88 peratus), Petaling (64 peratus) Klang (41 peratus) dan Kuala Lumpur (39 peratus),” katanya menerusi Facebook.

Elina berkata Air selangor terus menggerakkan bantuan bekalan air dengan mengagihkan air botol minuman berkapasiti lima liter sekitar kawasan Seksyen 19, Shah Alam malam ini.

Semalam, 686 kawasan di Lembah Klang berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan henti tugas separa LRA SSP1 berikutan kerja pembaikan kebocoran paip yang menyalurkan bekalan air terawat.