Categories
PBT SELANGOR

Projek pembangunan MBSJ tahun depan, penuhi keperluan penduduk

SHAH ALAM, 21 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merangka beberapa projek pembangunan pada tahun hadapan untuk kemudahan masyarakat.

Datuk bandar Subang Jaya berkata sebuah kompleks sukan baharu dinamakan Arena Puchong akan mula dibina hujung tahun ini dan kini dalam fasa sebut harga.

“Kompleks ini akan menempatkan gelanggang futsal berkapasiti 900 penonton mengikut spesifikasi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), kolam renang dan kompleks sukan mesra wanita,” kata Noraini Roslan ketika sidang media secara maya hari ini.

Beliau menjelaskan MBSJ juga akan membina sebuah jejambat di Persiaran Kewajipan awal tahun hadapan dengan kos RM30 juta serta sambungan jalan di Taman Universiti Indah, Seri Kembangan dan di Serdang berjumlah RM7 juta.

Selain itu, katanya, pembinaan jalan keluar dari Bukit Tandang, Puchong ke Lebuhraya Shah Alam (Kesas) bernilai RM6 juta.

“MBSJ turut memperuntukkan RM7 juta hasil kutipan cukai bagi pembangunan fizikal berskala kecil dan keutamaan bentuk pembangunan akan dibincangkan bersama penduduk setempat menerusi dialog awam,” katanya.