Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Rizab cukup, MBSJ mampu terus beri khidmat terbaik

SHAH ALAM, 21 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mempunyai rizab kewangan mencukupi untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik tahun hadapan walaupun terkesan dengan pandemik Covid-19.

Datuk bandar Subang Jaya berkata penjimatan perbelanjaan sejak 2018 membolehkan MBSJ menyusun keutamaan pembangunan kerana pengurangan hasil dijangka berlaku tahun ini.

“Pendapatan walaupun berkurangan dengan penjimatan dilakukan, MBSJ mempunyai rizab mencukupi menampung perbelanjaan tahun ini dan tahun hadapan. Tahun hadapan kita akan kumpul lagi untuk tahun seterusnya,” kata Noraini Roslan ketika sidang media secara maya hari ini.

Beliau menjelaskan jangkaan kutipan hasil MBSJ tahun ini sekitar RM256 juta disebabkan Covid-19 sambil dipengaruhi faktor lain berbanding RM292 juta tahun lalu dan RM272 juta (2018).

Noraini berkata pihaknya telah mula bekerjasama dengan rakan sinergi untuk menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan seperti Pemberdayaan Komuniti B40 serta Bandar Pintar sejak dua tahun lalu tanpa bergantung kepada peruntukan MBSJ.

“Langkah itu bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan malah MBSJ dapat bertukar pandangan bersama pihak luar untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan demi manfaat masyarakat,” katanya.

Noraini turut memberi jaminan perbelanjaan perkhidmatan seperti pembersihan diuruskan KDEB Waste Management, menampal jalan dan pembayaran bil elektrik mampu diteruskan menggunakan rizab sedia ada sambil disokong dengan hasil Kumpulan Wang Perkhidmatan Kemajuan (ISF).