Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

1,185 kawasan terima semula bekalan air, 94 dalam proses

SHAH ALAM, 12 NOV: Sejumlah 93 peratus kawasan membabitkan 1,185 lokasi yang terjejas akibat henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) menerima bekalan air sepenuhnya setakat jam 6 petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata 94 lagi lokasi masih dalam proses pemulihan.

“Kuala Selangor merekodkan pemulihan  99.6 peratus, diikuti Petaling (99.3 peratus), Kuala Lumpur (99.2 peratus), Hulu Selangor (91 peratus) dan Gombak (87 peratus).

“Kuala Langat (80 peratus) dan Klang/Shah Alam sebanyak 72 peratus,” kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.

Air Selangor turut menasihatkan supaya orang ramai menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan bekalan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Status pemulihan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram serta laman sesawang http://www.airselangor.com.

Pada 10 November, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor. Insiden itu menyebabkan lebih 1.1 juta akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.