Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar persoal zon hijau dikenakan PKPB, jejas ekonomi rakyat

SHAH ALAM, 9 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempertikai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri termasuk Selangor.

Ketua pembangkang juga kesal arahan sedemikian dilaksana tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri, malah membabitkan zon hijau.

“(Kerajaan) buat PKPB tetapi Kerajaan Selangor tidak tahu. Hulu Selangor dan Sabak Bernam tidak ada kena mengena (zon hijau) dikenakan PKPB. Langkah ini boleh menjejaskan ekonomi.

“Walaupun kita terima baik sebarang usaha untuk mencegah Covid-19 tetapi isu perintah kawalan perlu dibincangkan kerana ramai yang hilang kerja disebabkan ada sekatan (perjalanan),” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Anwar turut mengingatkan kerajaan supaya lebih telus mengemukakan data berkaitan kes Covid-19 bagi memastikan perintah kawalan tidak berlarutan dalam tempoh panjang.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa berlaku adil dengan mengambil tindakan kepada golongan atasan yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

“Saya tidak pertikai penguatkuasaan tegas tetapi kena jaga supaya golongan atasan tidak terlepas, hanya rakyat yang kena (tindakan).

“Mesti ada ketelusan dan sediakan maklumat telus supaya rakyat yakin. Jangan asyik kenakan PKPB disebabkan tidak boleh (isytihar) darurat,” kata ahli parlimen Port Dickson.

PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijadual tamat hari ini disambung sehingga 6 Disember. Ia turut dilaksana di negeri lain kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.