Categories
AGENDA SUKANKINI

Cabaran Piala Malaysia bermula di sebalik ancaman Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Saingan Piala Malaysia 2020 yang bakal membuka tirai secara rasmi bermula esok, pastinya akan menjadi antara edisi paling diingati ketika industri bola sepak tempatan turut terkesan susulan pandemik Covid-19.

Sejak pandemik itu melanda negara pada awal tahun ini, pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menerima kesan dari sudut kewangan, malah larangan kehadiran penonton ke stadium telah menambahkan derita segelintir pasukan untuk terus bertahan dalam tempoh yang sukar ini.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 9 Nov, dilihat menjadi cabaran getir kepada persediaan empat pasukan berpangkalan di Lembah Klang – Selangor, Kuala Lumpur, UiTM FC dan PJ City FC.

Finalis tiga kali, Sabah, terpaksa melupakan hasrat bertanding selepas tidak mendapat pelepasan keluar daripada PKPB yang dilaksanakan di negeri itu sehingga 9 November, sekali gus menjadikan ia sebagai pasukan pertama tidak dibenarkan menyertai pertandingan itu susulan Covid-19.

Impak Covid-19 terhadap kelangsungan kejohanan bola sepak tempatan tidak dapat dinafikan selepas saingan Liga Super dan Liga Premier dipendekkan kepada 11 perlawanan keseluruhan manakala saingan Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan, sekali gus memberi laluan kepada penganjuran Piala Malaysia musim ini.

Situasi itu menyaksikan ramai pemerhati berpendapat kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara itu perlu ditangguhkan, tidak kurang juga yang menggesa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membatalkan terus saingan musim ini.

Namun antara individu yang mempertahankan kejohanan itu adalah bekas pengendali skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal yang menyifatkan kejohanan Piala Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai H.M.S Malaya dan Malaya Cup, mempunyai nilai sejarah dan tradisi tersendiri sejak ia diperkenalkan pada 1921.

“Debaran perlawanan akhir Piala Malaysia sentiasa memuncak setiap tahun, dan keghairahan penyokong terhadap pertandingan ini tidak boleh dinafikan,” katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama sebelum ini.

Kelainan dalam perebutan kejuaraan berprestij musim ini pasti dapat dilihat menerusi format baharu kejohanan yang menyaksikan saingan berlangsung secara kalah mati satu pusingan seperti yang dipratikkan oleh Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Liga Juara-Juara UEFA musim ini.

Sebanyak 15 pasukan yang bakal berentap dalam saingan musim ini terdiri daripada 10 pasukan Liga Super dan lima pasukan Liga Premier dengan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat laluan mudah sekali gus berpeluang cerah merangkul kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

Keputusan undian Piala Malaysia yang berlangsung pada Ahad lepas, menyaksikan salah satu laluan ke perlawanan akhir menghimpunkan beberapa pasukan utama Liga Super dengan pertembungan dua bekas juara, Kedah dan Pahang menjadi aksi tumpuan pada pusingan pertama.

Sementara persaingan lebih mudah, dilihat seakan-akan memihak JDT yang akan melayani kunjungan Kuching FA, selain juara Liga Premier 2020 Pulau Pinang, UiTM FC, Kuala Lumpur dan Kelantan menjadi antara pasukan pilihan merebut slot ke final.

Undian itu turut menyaksikan juara terbanyak dengan rekod 33 kali, Selangor akan bertandang ke Melaka, manakala juara lapan kali Perak menerima kunjungan Kelantan United FC sementara Pulau Pinang yang muncul juara empat kali akan menentang Felda United FC, pada pusingan awal.

Edisi Piala Malaysia 2020 mungkin menjadi penampilan terakhir buat skuad ‘The Fighters’ dalam kejohanan itu selepas Felda United FC gagal mendapatkan Lesen Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi musim 2021.

Pusingan pertama dijadual berlangsung dari 6 hingga 8 November, diikuti suku akhir (12 dan 13 November), separuh akhir (17 November) dan final pada 22 November.

Juara Piala Malaysia 2020 akan mendapat slot beraksi pada Piala AFC 2021.

-BERNAMA