Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Lebih 90 peratus kes dari negeri dikenakan PKPB

SHAH ALAM, 1 NOV: Lebih 90 peratus daripada 957 kes baharu Covid-19 hari ini dikesan dari negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 874 itu membabitkan kes Sabah (644), Selangor (225), Kuala Lumpur (4) dan Putrajaya (1).

“Hampir keseluruhan kes dikesan di negeri dikenakan PKPB susulan aktiviti di lapangan yang giat dijalankan termasuk pengesanan kontak rapat.

“Keseluruhannya sebanyak 32,505 kes direkodkan dengan 10,036 kes aktif. Tiada kes import dilaporkan hari ini,” katanya menerusi kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 972 kes disahkan pulih menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih sepenuhnya ialah 22,220.

“Seramai 97 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), 27 memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada kematian baharu dilaporkan dan jumlah kekal 249 kes iaitu 0.8 peratus dari keseluruhan,” katanya.

Empat negeri berkenaan dikenakan PKPB sejak Oktober lalu hingga 9 November ini selepas jumlah jangkitan pandemik itu meningkat.