Categories
AGENDA SUKANKINI

Kerajaan tangguh saingan Piala Malaysia 2020

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan memutuskan saingan bola sepak Piala Malaysia 2020 ditangguhkan seketika berikutan pandemik Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sukan itu tetap berisiko walaupun diadakan tanpa penonton kerana melibatkan sentuhan dalam kalangan pemain.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berasakan pertandingan bola sepak walaupun tiada penonton boleh menyebabkan berlakunya sentuhan dalam kalangan pemain dan agak berbahaya apabila mereka berpeluh yang memberi risiko jangkitan Covid-19.

“Lagipun setiap negeri sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis. Jadi, sidang khas bersetuju untuk tangguhkan pertandingan Piala Malaysia ke suatu tarikh lain,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata peminat sukan tersebut diminta bersabar dan sentiasa kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi memutuskan rantaian wabak.

“KKM termasuk petugas hadapan sedang melakukan yang terbaik, sekiranya kes menurun dengan cepat kita akan kembali seperti biasa dan pertandingan boleh diadakan,” katanya.

Aksi suku akhir kejohanan bola sepak tertua di Asia dijadual berlangsung pada 12 dan 13 November ini selepas lapan pasukan mengesahkan tiket iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu FC, UiTM FC serta Perak.