Categories
AGENDA NASIONAL

Lanjutkan moratorium jamin kelangsungan peniaga kecil, mikro

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan dapat melanjutkan moratorium pinjaman untuk memastikan kelangsungan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro.

Presiden, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata walaupun inisiatif kerajaan untuk mempercepat pemulihan ekonomi telah disambut baik, namun banyak lagi yang diperlukan bagi memastikan syarikat terus bertahan dan pada masa sama mengekalkan pekerjaan pekerja yang ada.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan atas pelbagai inisiatif menerusi Belanjawan 2021 namun campur tangan yang lebih bermakna amat diperlukan untuk memastikan kelangsungan perniagaan terutama PKS dan mikro,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas daripada ahli MEF, program subsidi upah membantu dengan mengurangkan aliran tunai tetapi ia tidak cukup baik kerana subsidi upah hanya akan berfungsi sekiranya perniagaan itu terus wujud.

“Penamatan moratorium telah menyukarkan kesinambungan perniagaan.

“Kalangan majikan amat berharap agar moratorium dilanjutkan memandangkan langkah itu penting dalam membantu mengekalkan operasi perniagaan semasa tempoh mencabar dan sukar ini,” katanya.

Syed Hussain berkata kira-kira 60 peratus ahli MEF adalah PKS dan penting bagi mencapai kesejahteraan ekonomi agar PKS dapat meneruskan operasi mereka.

Persekutuan itu berharap kerajaan mempertimbangkan semula untuk melanjutkan moratorium dan mungkin memberikan sedikit pelepasan cukai bagi tahun taksiran 2020 untuk perniagaan, katanya.

Beliau berkata ini supaya lebihan tunai itu dapat digunakan untuk membiayai lebih banyak peningkatan teknologi dan pada masa sama mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

-BERNAMA