Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk Meru jalani saringan komuniti bersasar Rabu ini

SHAH ALAM, 30 NOV: Kerajaan Selangor akan melaksanakan saringan Covid-19 secara bersasar ke atas komuniti sekitar Meru, Klang pada 2 Disember ini.

Dato’ Menteri Besar berkata saringan yang bermula 9 pagi hingga 2 petang di Dewan Masyarakat Taman Meru 3 memfokuskan Taman Meru 3, Taman Seri Meru, Taman Bayu dan Taman Desa Permai.

“Pasukan Petugas Khas Selangor untuk Covid-19 (STFC) bermesyuarat berhubung kenaikan kes Covid-19 yang mendadak di Selangor terutama berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di asrama pekerja kilang Top Glove.

“Sidang mencapai beberapa syor yang sesuai dalam rangka mengelakkan penularan wabak ini sekali gus melegakan kerisauan orang ramai berkenaan hal ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata saringan dijalankan bersama anak syarikat Kerajaan Negeri Selcare, Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan badan bukan kerajaan Imam Response & Relief Team (Imaret).

Tambahnya, buat pertama kali sistem Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) akan digunakan untuk pendaftaran dan memuat naik keputusan saringan.

Bagi melicinkan proses pendaftaran, orang ramai diminta membuat pra-pendaftaran terlebih dahulu melalui https://screening.selangkah.my.