Categories
SELANGOR

PKPD: 1,024 penduduk Kuala Langat disaring, 43 positif Covid-19

SHAH ALAM, 4 NOV: Kesemua 1,024 penduduk Flat Sungai Emas, Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32, Kuala Langat sudah menjalani saringan Covid-19 sejak 18 Oktober lalu sehingga kelmarin.

Pegawai Tanah dan Daerah (PTD) Kuala Langat Mohd Jusni Hashim berkata saringan membabitkan 97 peratus rakyat tempatan manakala selebihnya warga asing yang menghuni kawasan berkenaan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurutnya daripada jumlah itu, 43 kes dikesan positif Covid-19, 958 disahkan negatif dan 23 penduduk lagi masih menunggu keputusan.

“Operasi pintu ke pintu dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat dengan kerjasama polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk memastikan semua individu jalani saringan.

“Mereka (penduduk) perlu melalui penilaian harian (Annex-14) dan akan dibebaskan (Annex-17) apabila tamat tempoh kuarantin. Individu hanya dibenarkan keluar dari rumah jika mempunyai Annex-17,” katanya ketika dihubungi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya sudah mengagihkan bakul makanan sumbangan Kerajaan Negeri kepada 338 rumah di kawasan terbabit pada 30 Oktober lalu.

Katanya penduduk yang terjejas di kawasan PKPD itu turut dibantu beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan bagi meringankan beban mereka.

“Selain itu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat menawarkan perkhidmatan kepada penduduk dengan membuka kedai bergerak di kawasan PKPD yang beroperasi dua hari seminggu dari 8 pagi hingga 2 petang,” katanya.

Flat Sungai Emas di Kuala Langat dikenakan PKPD berkuat kuasa 28 Oktober hingga 10 November susulan peningkatan jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.