Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada alat khas kesan pencemaran bau, hanya guna deria

SHAH ALAM, 27 NOV: Tiada alat khas digunakan bagi mengesan pencemaran bau pada sumber air mentah, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata ketika ini pencemaran hanya mampu dikesan dengan menghidu bau tersebut secara terus.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri berhasrat menggunakan alat menganalisis kandungan karbon organik (TOC) bagi mengesan punca pencemaran.

“Biasanya bau kandungan tercemar berasal daripada bahan organik, justeru alat ini akan mengesan sebarang punca melalui perubahan tindak balas air tercemar,” katanya.

Ir Izham Hashim bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di Bilik Gerakan Pejabat Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 26 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di sini semalam.

Ir Izham menambah pencemaran bau lebih kerap berlaku berbanding tumpahan diesel dan minyak sawit yang dialami sebelum ini.

Jelasnya, sumber air yang mengalami pencemaran bau tidak boleh diproses meskipun tahap pencemaran TON (nombor bau nilai ambang) rendah dan tidak mengubah warna air.

“Pengurusan Air Selangor ada pengalaman. Bila air 1 TON (tercemar) diproses, ada tindak balas kimia yang menyebabkan bau bertambah kuat. Kita juga mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.