Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas peniaga guna pencuci lantai sebagai cecair pembasmi kuman

SHAH ALAM, 6 NOV: Polis boleh menangkap dan mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati menggunakan pencuci lantai sebagai cecair pembasmi kuman.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu tidak wajar sama sekali kerana akan memberi kesan buruk kepada pelanggan.

“Kita tidak boleh berkompromi dengan kes sebegini yang dianggap menipu kerana menggunakan bahan lain sebagai cecair pembasmi kuman.

“Bermacam kesan sampingan boleh berlaku kepada kesihatan orang ramai kalau (peniaga) guna pencuci lantai untuk cuci tangan, jadi polis perlu cari dan ambil tindakan,” katanya pada sidang media semalam.

Beliau mengulas laporan seorang peniaga dikompaun RM1,000 selepas dikesan menggunakan pencuci lantai sebagai cecair pembasmi kuman.

Tindakan peniaga itu berjaya dikesan pihak berkuasa dalam Op Pematuhan Tatacara Operasi Piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Jempol, Negeri Sembilan.