Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Lahir 56,000 usahawan, Hijrah terus membantu

SABAK BERNAM, 22 DIS: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berjaya melahirkan seramai 56,000 usahawan dalam tempoh enam tahun.

EXCO pembangunan usahawan berkata usaha tersebut bermula sejak 2015 dengan menggunakan peruntukan pinjaman sebanyak RM244 juta.

“Ramai di antara usahawan berkenaan sudahpun berjaya dalam perniagaan masing-masing. Oleh sebab itu, kita mahu jejak mereka semula dan kisahnya dikongsi dengan masyarakat.

“Melalui kisah kejayaan sebegini, mungkin lebih ramai terdorong untuk bergelar usahawan pada masa akan datang. Malah Hijrah sedia membantu mereka,” kata Rodziah Ismail ketika sesi Kembara Sukses Hijrah Selangor di sini semalam.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah, Normaiza Yahya dan Pengurus Bahagian Khidmat Profesional Hijrah, Nur Siti Hazliana Mat Hashim.

Rodziah berkata, seramai 66 usahawan dari 20 cawangan seluruh Selangor tercalon menerusi Program Kembara Sukses Hijrah 2020 kali ini dan 21 daripadanya berjaya dipilih.

Bagi fasa pertama, beliau mengunjungi lima usahawan iaitu Elyna Muhammad Hambali selaku pengusaha bengkel kereta, Shafinaz Ainaa Muslim (pengusaha kuih kapit traditional), Mohd Faizal Sarwani (pengusaha gerai ayam bakar), Syamsul Amir Ahmad (pengusaha aksesori telefon bimbit) dan Siti Zubaidah Husni (pengusaha kedai runcit).

Kesemua usahawan berkenaan menerima sijil penghargaan dan sumbangan hamper dari Hijrah.