Categories
AGENDA SUKANKINI

Gelaran pemain tengah terbaik jadi impian Brendan Gan

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Pemain tengah Selangor FC Brendan Gan mengharapkan tuah memihak kepadanya kali ini untuk dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual selepas tercalon untuk kali ketiga bagi anugerah itu.

Pemain berusia 32 tahun itu yang melahirkan rasa gembira apabila tercalon sekali lagi, menyifatkan rakan sepasukannya banyak membantu dalam setiap perlawanan diharungi musim ini.

“Saya tetap percaya dan berpegang kepada prinsip bahawa usaha gigih akan membuahkan hasil yang lumayan…sejak tercalon pada edisi sebelum ini sehingga sekarang membuatkan saya sentiasa ingin melakukan yang lebih baik setiap tahun,” katanya menerusi kenyataan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Beliau akan dicabar oleh sembilan pemain lain iaitu Safawi Rasid, Afiq Fazail, Leandro Velazquez, Gonzalo Cabrera (kesemuanya Johor Darul Ta’zim (JDT), Faisal Abd Halim, Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Leandro dos Santos (Perak), Lee Tuck (Terengganu FC) dan Syahmi Safari (Selangor).

Sementara itu, pemain pertahanan JDT Aidil Zafuan Ab Radzak secara peribadi melihat Shahrul Saad sebagai calon paling layak untuk memenangi kategori Pertahanan Terbaik tahun ini berdasarkan pencapaiannya sebagai Kapten Pasukan Perak untuk menamatkan musim 2020 di tangga keempat Liga Super.

“Saya tidaklah letak harapan yang tinggi sangat dan saya sebelum ini pun pernah merasai kemenangan beberapa kali, jadi kita tunggu dan lihat sahaja siapa yang betul-betul layak untuk menang.

Yang penting, saya nak ucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang telah membuat undian sebelum ini dan kepada mereka yang mengundi saya, saya tidak akan lupa sampai bila-bila sokongan yang diberikan ini”, katanya yang juga tercalon untuk kategori itu pada kali ini.

Calon lain yang merebut gelaran Pemain Pertahanan Terbaik pada tahun ini adalah Azmi Muslim (Pulau Pinang), La’Vere Corbin-Ong, Matthew Davies (JDT), Rafiuddin Roddin (Perak), Shahrul Nizam Ros Hasni (Kelantan), Shakir Hamzah (Kedah), Victor Nirennold (UiTM FC) dan Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman (Melaka).

Aidil merupakan pemenang terbanyak bagi kategori Pertahanan Terbaik setelah mengungguli kategori tersebut sebanyak empat kali pada 2009, 2010, 2012 dan 2015.

– BERNAMA