Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 15 peratus belia ceburi sektor pertanian – timbalan menteri

LIPIS, 19 DIS: Penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian di negara ini masih rendah iaitu hanya 240,000 orang atau 15 peratus daripada jumlah petani di Malaysia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata antara faktor yang menyebabkan golongan muda tidak berminat dengan pertanian ialah persepsi sektor tersebut tidak mendatangkan pulangan lumayan.

“Perkara ini tidak benar kerana industri pertanian, penternakan dan perikanan boleh mendatangkan hasil memberangsangkan apabila dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dengan ilmu yang cukup.

“Untuk membetulkan tanggapan silap ini, kita mengadakan Jelajah Agropreneur Muda termasuk di Pahang bagi memberi penerangan termasuk bantuan yang ditawarkan kepada mereka yang serius menceburi sektor pertanian,” katanya.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Agropreneur Muda Negeri Pahang di Laman Sejahtera Sungai Koyan hari ini, selain turut melawat tapak projek fertigasi sayur Kampung Sanglang, Penjom dan tapak projek tanaman nanas MD2 di Batu 13 Jalan Lipis/Benta.

Beliau berkata kementerian juga sentiasa membantu agropreneur muda dengan memberikan pelbagai bantuan bermanfaat, seperti di Pahang, sebanyak RM1.49 juta diperuntukkan tahun ini untuk membantu 77 orang agropreneur muda yang membuat permohonan.

“Setiap peserta diberi bantuan maksimum RM20,000 dalam bentuk barangan dan mereka yang ingin mengembangkan produk dibantu melalui pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) sebanyak RM50,000 dan seterusnya pinjaman Agrobank sehingga RM200,000.

“Kita juga tidak hanya menawarkan bantuan kewangan, bahkan turut memberi nasihat cara pengurusan kebun dan perniagaan yang betul dengan matlamat hasil tanaman mereka berkualiti sehingga berjaya dipasarkan ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima geran agropreneur muda, Amerul Affendi, 35, yang mengusahakan ternakan kerbau di Kampung Kelibut, Temerloh dekat sini, berhasrat membaik pulih kandang ternakan dengan peruntukan yang diterimanya.

Beliau yang juga seorang pelakon dan pernah membintangi filem Polis Evo berkata ia berikutan bilangan kerbau miliknya yang mula diternak sejak empat tahun lepas semakin bertambah sehingga kandang sedia ada tidak mampu menempatkan semua 27 ekor ternakan tersebut.

“Buat masa ini, hanya tujuh ekor kerbau sahaja boleh ditempatkan dalam kandang dan dijangkakan, jumlahnya kerbau boleh meningkat kepada 50 ekor pada masa hadapan, menyebabkan saya perlu mempunyai kandang yang lebih besar dan kukuh.

“Penglibatan dalam bidang ternakan kerbau Alhamdulillah memberi pendapatan yang lebih stabil dan agak lumayan sekali gus membantu perbelanjaan bulanan kerana hasil kerjaya lakonan tidak menentu seperti makan gaji,” katanya.

-BERNAMA