Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kualiti makin baik, Sungai Klang diyakini bakal jadi sumber air

SHAH ALAM, 24 DIS: Kerajaan Negeri yakin sasaran menjadikan Sungai Klang sebagai sumber bekalan air mampu direalisasi berikutan tahap kualiti airnya yang semakin baik.

EXCO infrastruktur berkata program pembersihan dan pemuliharaan sungai melalui projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) bermula 2016 berjaya mengembalikan ekosistem semula jadi kawasan itu.

“Indeks kualiti air semakin baik hasil pembersihan dan pemuliharaan, jadi kita yakin dapat merealisasikan hasrat menjadikan Sungai Klang sebagai sumber air baharu Selangor.

Ir Izham Hashim berucap pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Sungai Klang Link Sdn Bhd dan Landasan Lumayan Sdn Bhd di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Usaha mengindahkan sungai turut mendorong pelbagai syarikat untuk melabur serta bekerjasama membangunkan sekitar kawasan tersebut,” kata Ir Izham Hashim di sini.

Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Landasan Lumayan Sdn Bhd dan Sungai Klang Link Sdn Bhd bagi melaksana projek jaringan perhubungan sekitar Sungai Klang.

Pada 18 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata kualiti air Sungai Klang berada pada tahap tiga atau sederhana baik yang selamat untuk aktiviti sukan air.

Dato’ Seri Amirudin Shari menambah kualiti tersebut juga sesuai diproses sebagai air terawat, namun memerlukan kos yang tinggi.

Projek SMG adalah inisiatif Kerajaan Negeri yang memfokuskan kepada penjanaan semula Sungai Klang melibatkan tiga aktiviti utama iaitu pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan.