Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: SOP solat jemaah di surau, masjid diumum sehari dua lagi

SHAH ALAM, 8 DIS: Pengumuman tatacara operasi piawai (SOP) solat fardu dan Jumaat di surau dan masjid seluruh Selangor termasuk bilangan jemaah akan diumumkan sehari dua lagi.

Dato’ Menteri Besar berkata segala cadangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sudah dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj semalam.

“Cadangan itu membabitkan semua kawasan terutama daerah tidak dikenakan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) iaitu Kuala Selangor, Hulu Langat dan Sabak Bernam.

“Perbincangan cadangan ini dilakukan EXCO serta Jais. Jadi kita tunggu berita baik sehari dua ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Lorong Antidadah dan Pejabat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor hari ini.

Pada 15 Oktober, Jais membenarkan kurang enam jemaah menunaikan solat fardu di masjid dan surau berikutan pelaksanaan PKPB.

PKPB di Selangor yang dilaksana bermula 14 Oktober disambung sehingga 20 Disember kecuali Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.