Categories
PBT SELANGOR

MPAJ gesa premis berlesen daftar program kutipan caj beg plastik

SHAH ALAM, 3 DIS: Semua premis berlesen di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) digesa mendaftar program kutipan caj 20 sen beg plastik sebelum hujung tahun ini.

Yang Dipertuanya Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata hanya 294 daripada keseluruhan 9,959 premis berbuat demikian setakat 17 November lalu.

“Untuk kategori bebas beg plastik pula, sebanyak 37 premis berdaftar setakat ini. Semua pemegang lesen diingatkan mematuhi arahan Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pemegang lesen yang sudah mendaftar program kutipan caj beg plastik perlu hadir ke pejabat MPAJ untuk memperbaharui sijil pendaftaran perniagaan 2021.

Bermula 1 Januari lalu, Kerajaan Selangor meluluskan pelaksanaan kutipan caj beg plastik melalui pihak berkuasa tempatan untuk dimasukkan ke tabung amanah bagi program kesedaran alam sekitar.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak RM1.1 juta berjaya dikutip melalui program itu.