Categories
PBT SELANGOR

MPAJ: Lulus program lesen niaga sementara, bantu IKS dapat permit sah

SHAH ALAM, 3 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) meluluskan cadangan pelaksanaan program Lesen Perniagaan Sementara Bersyarat (LPSB) terhadap semua pengusaha aktiviti dan premis kilang tanpa kebenaran.

Yang dipertuanya berkata kelulusan itu diputuskan melalui mesyuarat penuh MPAJ bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (IKS) yang beroperasi di kawasan industri serta komersial mendapatkan lesen sah sementara.

“Program ini menumpukan premis beroperasi tanpa lesen di kawasan zon perindustrian dan zon komersial diwartakan dalam Rancangan Tempatan MPAJ (Pengubahan 2) 2020.

“Kita memberi lesen sementara selama dua tahun bermula Januari 2021 hingga Disember 2022 bagi pemilik tanah atau premis untuk melengkapkan serta mematuhi syarat ditetapkan,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim kepada SelangorKini.

Beliau berkata proses permohonan LPSB dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Jabatan Pelesenan dan pemilik premis akan diberi taklimat secara berperingkat bermula bulan ini.