Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Nilai jualan borong, runcit susut 0.8 peratus pada Okt 2020

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Malaysia mencatatkan nilai jualan borong dan runcit berjumlah RM110.5 bilion pada Oktober 2020, susut 0.8 peratus tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan negatif ini adalah disebabkan oleh penguncupan perdagangan runcit sebanyak 1.5 peratus (RM0.7 bilion) kepada RM44.2 bilion dan penguncupan perdagangan borong 0.9 peratus (RM0.5 bilion) kepada RM53.4 bilion.

Bagaimanapun, kenderaan bermotor mengekalkan pertumbuhan positif dengan peningkatan RM0.3 bilion atau 2.2 peratus tahun ke tahun kepada RM12.9 bilion.

Dalam pada itu, nilai jualan subsektor bulan ke bulan susut 0.5 peratus pada Oktober 2020 berbanding September sebahagiannya disebabkan peningkatan semula kes Covid-19 yang menyebabkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di beberapa kawasan sasaran dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Mohd Uzir berkata pertumbuhan negatif 1.5 peratus perdagangan runcit disebabkan penurunan jualan produk bukan keperluan, iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (-7.4 peratus) dan jualan barangan isi rumah (4.0 peratus), barangan kesenian dan rekreasi (-4.6 peratus), serta kelengkapan informasi dan komunikasi (-1.9 peratus).

“Bagaimanapun, jualan barangan keperluan menunjukkan peningkatan iaitu jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang mencatatkan 4.4 peratus kepada RM15.9 bilion tahun ke tahun. Ini diikuti oleh jualan runcit makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 6.1 peratus kepada RM2.7 bilion.

“Jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar turut berkembang 8.3 peratus kepada RM0.4 bilion diikuti oleh jualan runcit di gerai dan pasar yang naik 7.0 peratus kepada RM0.1 bilion,” katanya.

Selain itu, Mohd Uzir berkata bagi perdagangan borong, kejatuhan 0.9 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2020 adalah disebabkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran yang merosot masing-masing -6.1 peratus dan -3.6 peratus.

“Bagaimanapun, jualan borong makanan, minuman dan tembakau meningkat 3.8 peratus kepada RM10.1 bilion. Ini diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah yang naik 3.1 peratus kepada RM11.0 bilion. Jualan borong jentera, peralatan dan bekalan juga berkembang 1.7 peratus tahun ke tahun untuk menjana jualan sebanyak RM4.6 bilion,” jelas beliau.

Mengulas lanjut mengenai subsektor kenderaan bermotor, jualan kenderaan bermotor memacu pertumbuhan dengan 6.4 peratus tahun ke tahun untuk mencapai RM7.2 bilion, diikuti oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal yang mencatatkan nilai jualan RM1.1 bilion, meningkat 4.7 peratus.

Sebaliknya, penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor menguncup 4.3 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya untuk merekodkan RM1.5 bilion, dengan jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor juga merosot 4.5 peratus kepada RM3.1 bilion.

Bagi perbandingan bulan ke bulan yang mencatatkan pertumbuhan negatif 0.5 peratus, ia disebabkan oleh perdagangan runcit dengan -1.4 peratus atau penurunan RM0.6 bilion, manakala kenderaan bermotor juga jatuh RM0.8 bilion atau -5.8 peratus pada tempoh yang sama.

Walau bagaimanapun, perdagangan borong menokok 1.7 peratus atau peningkatan RM0.9 bilion.

Mohd Uzir berkata indeks jualan dalam talian menggambarkan aktiviti e-dagang turut melonjak dengan merekodkan pertumbuhan 26.3 peratus tahun ke tahun.

Bagi indeks jualan runcit dalam talian pelarasan musim, ia turun 5.4 peratus berbanding bulan sebelum, katanya.

“Bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan -1.4 peratus tahun ke tahun. Penguncupan ini disebabkan oleh perdagangan runcit yang menurun 2.8 peratus, diikuti perdagangan borong yang jatuh 0.8 peratus.

“Sebaliknya, kenderaan bermotor tumbuh positif untuk mencatatkan 1.7 peratus. Bagi indeks volum pelarasan musim, ia menurun 1.4 peratus bulan ke bulan,” tambahnya.

-BERNAMA