Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Kerajaan pertimbang cadangan buka perpustakaan awam

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Persekutuan sedia mempertimbangkan cadangan supaya perpustakaan awam di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibuka semula.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan itu akan dibawa kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk diperhalusi.

“Di kawasan PKPB, perhimpunan dalam kawasan tertutup (seperti perpustakaan) adalah tidak dibenarkan. Oleh sebab ia tempat tertutup, cadangan ini akan dibawa kepada kementerian berkaitan untuk dipertimbangkan sama ada ia boleh dibuka atau tidak.

“Kita juga perlu dapat pandangan daripada KKM, saya akan bangkitkan cadangan ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan media susulan terdapat permintaan daripada orang awam terutamanya pelajar supaya perpustakaan dibuka semula bagi kemudahan mendapatkan bahan rujukan dan akses internet bagi persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).