Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya diseru proaktif baiki jalan rosak seluruh negara

SHAH ALAM, 30 DIS: Kerajaan Persekutuan diseru lebih proaktif membaik pulih dan menyelenggara jalan rosak di seluruh negara, kata Ahli Dewan Negeri Banting.

Lau Weng San berkata lebih memburukkan keadaan apabila Selangor mempunyai jaringan jalan raya terbanyak dan merekodkan kadar kegunaan dan kerosakan tertinggi dalam negara.

“Saya dan rakan-rakan sudah banyak kali membangkitkan isu kerosakan jalan, baik di dalam sidang Dewan Negeri Selangor mahupun mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur Majlis Perbandaran Kuala Langat.

“Justeru itu saya tidak bercadang mengkritik Jabatan Kerja Raya Kuala Langat kerana ‘tangan’ mereka terikat dengan kesuntukan peruntukan. Kementerian Kewangan sebenarnya harus memikul sebahagian besar tanggungjawab kerana mereka yang membuat keputusan akhir,” katanya dalam kenyataan.

Weng San turut terkejut dengan insiden kemalangan yang menimpa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada 27 Disember lalu.

“Jalan yang digunakan menteri itu merupakan antara jalan negeri yang tersibuk kerana menghubungkan Sri Cheeding dengan Banting. Malah ia turut menjadi jalan pintas Banting dengan Bandar Rimbayu serta Kota Kemuning.

“Jalan ini juga merupakan laluan kesukaan ramai pengayuh basikal pada hujung minggu dan cuti awam kerana kedudukannya yang strategik dan berdekatan dengan Lembah Klang dan Shah Alam,” katanya.