Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor catat 1,428 kes Covid-19

SHAH ALAM, 10 DIS: Kes baharu Covid-19 di Selangor melonjak kepada angka empat digit apabila merekodkan 1,428 jangkitan hari ini berbanding 277 kes semalam.

Ketua pengarah kesihatan berkata sebanyak 1,239 kes dikesan menerusi kluster sedia ada,  842 daripadanya membabitkan kluster Seruling dan 315 kluster Hentian.

“Sebanyak 39 kes daripada kluster baharu iaitu tapak bina jalan bukit, 92 saringan kontak rapat kes positif dan 97 lain-lain saringan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Mengenai kluster baharu di Hulu Langat, beliau berkata kes indeks ke-68,596 melibatkan pekerja di sebuah tapak binaan yang dilaporkan positif pada 2 Disember hasil saringan individu bergejala.

Susulan itu, katanya, pihak syarikat menjalankan saringan bersasar di tempat kerja dan mengesan 46 lagi individu dijangkiti wabak.

“Sehingga hari ini, sejumlah 109 individu disaring, dengan 47 kes dikesan positif kluster ini,” jelasnya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Selangor menerusi Facebook memaklumkan seramai 234 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini.

Malaysia merekodkan 2,234 kes hari ini, angka tertinggi pernah dilaporkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu menjadikan jumlah keseluruhan 78,499 kes.