Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor catat kematian kedua tertinggi akibat denggi

SHAH ALAM, 31 DIS: Selangor antara tiga negeri yang mencatatkan kematian tertinggi akibat denggi, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kementerian berkata sebanyak 144 kematian akibat denggi setakat 26 Disember termasuk masing-masing satu kematian baharu di Melaka dan Johor.

“Johor merekodkan 43 kematian, diikuti Selangor (37), Sabah (16), Negeri Sembilan (10), Melaka (sembilan) dan Pahang (lapan).

“Sementara Kelantan dan Putrajaya masing-masing mencatat tujuh kematian diikuti Perak (tiga) serta Sarawak dan Pulau Pinang (dua),” menurut info grafik KKM di Twitter.

Kementerian juga menasihati orang ramai menggunakan repellan, menyembur racun serangga, mengelak berada di luar rumah pada awal pagi dan senja serta memasang penghalau nyamuk, kelambu dan jaring bagi mengelak gigitan nyamuk Aedes.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melaporkan 381 kes demam denggi bagi tempoh 20 hingga 26 Disember lalu yang menunjukkan peningkatan 5.8 peratus berbanding 360 kes pada minggu sebelumnya.

Pengarahnya Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman berkata sebanyak 37 kematian dilaporkan iaitu penurunan 33.9 peratus berbanding 56 kes dalam tempoh sama tahun lepas.