Categories
AGENDA NASIONAL

SSM sedia skim daftar niaga percuma kepada belia, ibu tunggal

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan merangka kaedah bersesuaian yang membolehkan golongan usahawan belia dan ibu tunggal mendapat manfaat skim pendaftaran perniagaan percuma.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata usaha SSM itu bakal mencetus minat berniaga dan menggalakkan penyertaan lebih ramai golongan tersebut untuk menceburi bidang perniagaan.

“…(Ini dapat) menjana pulangan pendapatan tambahan yang dapat menampung kehidupan seharian mereka seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan sektor perniagaan di negara ini,” katanya pada sesi Waktu-waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang ingin tahu sekiranya SSM menyediakan sebarang bantuan untuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU), wanita, belia dan pelajar yang baru memulakan perniagaan mereka.

Nanta turut menyarankan golongan OKU untuk memanfaatkan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P) yang diperkenalkan pada 23 Oktober 2012 oleh SSM untuk mendaftar perniagaan baharu dan memperbaharui pendaftaran perniagaan secara percuma.

Beliau berkata SSM juga menggalakkan belia dan pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk mendaftarkan perniagaan secara percuma melalui Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan (S1P1P) yang diperkenalkan pada 1 Jan 2017.

Sementara itu, katanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui SSM melaksanakan lapan inisiatif yang inklusif bagi mengurangkan beban masalah dan tekanan yang dihadapi sektor komuniti peniaga dan korporat akibat pandemik Covid-19.

Antaranya ialah melaksanakan tempoh moratorium 30 hari daripada tarikh berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyerahkan dokumen berkanun SSM, pengecualian fi lewat serah simpan bagi dokumen berkanun serta pelanjutan masa untuk serah simpan penyata kewangan kepada SSM.

-BERNAMA