Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sungai Klang pusat ekonomi baharu di Selangor

SHAH ALAM, 25 DIS: Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan Sungai Klang Link Sdn Bhd (SKL) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) melaksanakan projek jaringan perhubungan di sekitar Sungai Klang.

MoU ditandangani Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin manakala SKL diwakili Pengarah Urusan Nazri Ismail dengan disaksikan EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor semalam.

Izham ditemui pemberita berkata Sungai Klang bakal menjadi pusat ekonomi baharu di Selangor pada masa depan.

“Pelaksanaan Gerbang Maritim Selangor (SMG) mengembalikan kegemilangan Sungai Klang yang turut memberi kesan kepada pembangunan Selangor dan Malaysia.

“Kawasan ini juga bakal dikenali sebagai lokasi aktiviti komuniti dan eko-pelancongan sejajar dengan wawasan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan kawasan tarikan lestari,” katanya.

Projek SMG adalah inisiatif Kerajaan Negeri yang memfokuskan kepada penjanaan semula Sungai Klang membabitkan kawasan seluas 35,612 hektar.

Projek dikendalian LLSB yang juga anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bertanggungjawab melaksanakan tiga aktiviti utama projek iaitu pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan.

SMG bakal menjana semula industri perhotelan, perdagangan, pelancongan, perumahan serta industri perkhidmatan sekitar Sungai Klang.