Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB: Bicara kes Najib disambung lepas empat bulan tangguh

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Setelah hampir empat bulan ditangguhkan, perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan bermula di Mahkamah Tinggi pagi ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung dengan saksi pendakwaan ke-10 iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman akan disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan.

Mohd Hazem, 47, mula memberi keterangan pada 14 September tahun lalu.

Najib, 67, didakwa terhadap empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Mahkamah menetapkan 4 hingga 7 Januari, 25 hingga 27 Januari; 2 hingga 4 Februaru, 8 hingga 11 Februari, 15 hingga 18 Februari; 5 hingga 8 April, 19 hingga 22 April, 26 hingga 28 April; 3 hingga 6 Mei, 17 hingga 20 Mei, 24 hingga 27 Mei; 1 hingga 3 Jun, 8 hingga 10 Jun, 21 hingga 24 Jun, 28 hingga 30 Jun dan 5 hingga 8 Julai untuk perbicaraan kes itu.

Sebelum ini, petugas media dikehendaki mengambil pas khas untuk memasuki mahkamah terbuka dan dua bilik video yang dikenali sebagai ‘video link’ yang memaparkan perbicaraan secara langsung.

Bagaimanapun, sejak pandemik Covid-19 Mac tahun lalu, pihak pengurusan mahkamah mengehadkan jumlah media bagi mahkamah terbuka dan bilik video kepada masing-masing 10 orang.

-BERNAMA