Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Tempoh khidmat 278 pengerusi MPKK dilanjut, baki ditemuduga

KUALA LANGAT, 3 JAN: Tempoh perkhidmatan 278 pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Selangor yang dijadual tamat Disember lalu dilanjutkan sehingga pembentukan kerajaan baharu pada penggal ke-15.

EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi Borhan Aman Shah berkata baki 93 pencalonan baharu dikenal pasti melalui proses temu duga untuk menggalas peranan tersebut.

“Saya sudah arahkan kakitangan saya untuk serah borang secepat mungkin kepada daerah berkaitan supaya (calon baharu) dipanggil hadir (untuk temu duga) dan pelantikan terus dibuat selepas dikenal pasti.

“Kita tidak mahu buat pelantikan tanpa temu duga kerana dikhuatiri ada kecacatan atau kelemahan seperti individu yang dilantik mengalami masalah bankrup mahupun jenayah,” katanya ditemui pemberita selepas menyerahkan bakul makanan di Balai Raya MPKK Kampung Seri Jugra di sini semalam.

Beliau berkata calon juga perlu diteliti daripada aspek fizikal supaya mampu memikul tanggungjawab itu.

Wakil rakyat Tanjung Sepat menambah pengerusi MPKK memainkan peranan penting bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan komuniti.

“Setiap aktiviti sama ada daripada ahli dewan negeri atau ahli parlimen, mereka (ketua kampung) harus bergerak aktif selain menjadi penasihat kepada masjid.

“Justeru, saya harap proses ini (temu duga) dapat mencari calon terbaik untuk meneruskan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya.