Categories
AGENSI SELANGOR

Jais siasat Nur Sajat berhubung video tular

SHAH ALAM, 13 JAN: Usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat disiasat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung penularan sebuah video.

Unit Korporatnya berkata siasatan mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor dibuat susulan beberapa aduan mengenai perlakuannya pada 2018 dan 2020.

“Kita mengambil maklum berhubung video yang ditularkan Sajjad berkaitan insiden membabitkan dirinya dan beberapa penguat kuasa Jais baru-baru ini.

“Beliau sudah membuat laporan polis berkaitan insiden tersebut dan pegawai penguat kuasa berkenaan juga dipanggil beri keterangan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Nur Sajat dilaporkan mendakwa beliau dilayan dengan teruk oleh penguat kuasa Jais walaupun memberi kerjasama dan jabatan itu seolah-olah melengah-lengahkan urusan surat jaminan.

Beliau turut membuat aduan tercedera kerana digari sehingga mengalami bengkak di bahagian badan kerana bergelut untuk mempertahankan diri.