Categories
AGENDA NASIONAL

JKNS ambil berat persekitaran kerja, keperluan asas petugas kesihatan

SHAH ALAM, 17 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengambil berat persekitaran kerja, keperluan asas, penjagaan kesihatan dan keselamatan petugas kesihatan yang bertugas di mana-mana fasiliti kesihatan di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dalam maklum balas kepada artikel bertajuk “LETTER: A Tired Doctor From Sungai Buloh Asks To Be Treated Humanely” yang disiarkan oleh sebuah portal berita semalam berkata semua langkah yang diambil jabatan itu adalah bertujuan memastikan rawatan yang cekap dan berkualiti dapat diberikan kepada pesakit.

Kata Dr Sha’ari, pihaknya melakukan pengagihan tambahan pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan melalui penempatan semula petugas di dalam Selangor dan negeri-negeri lain, selain tambahan kakitangan melalui pengambilan pegawai kontrak baharu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Hospital Sungai Buloh.

“Di Hospital Sungai Buloh dan hospital yang lain di Selangor, kakitangan yang bertugas dalam mengendalikan kes Covid-19 diberikan elaun oleh kerajaan, elaun lebih masa bagi yang perlu melakukan kerja lebih masa dan elaun-elaun lain yang dirasakan perlu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai pemberian makanan, Dr Sha’ari berkata ia adalah berdasarkan kelayakan di dalam surat pekeliling KKM yang mana semua anggota perubatan yang bertugas secara atas panggilan akan dibekalkan makanan mengikut surat pekeliling itu.

“Bagaimanapun bekalan makanan masih boleh didapati daripada kafeteria atau membuat pesanan makanan secara dalam talian,” katanya.

Dr Sha’ari turut memberitahu pegawai perubatan dan lain-lain kategori kakitangan yang ditempatkan di wad Covid-19 bertugas mengikut syif bagi mengurangkan beban kerja dan cuti rehat diberikan secara adil.

“Setiap wad Covid-19 juga mempunyai ruang rehat yang selamat untuk petugas kesihatan berehat, makan dan solat, semua kakitangan juga dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi agar tidak berlaku infeksi silang dan peruntukan kewangan serta bekalan adalah mencukupi,” katanya.

Selain itu katanya, pihak hospital turut memberikan khidmat bimbingan psikologi untuk sokongan moral dan khidmat nasihat kepada petugas kesihatan yang memerlukan.

“Semua maklum balas daripada anggota kesihatan akan diajukan kepada pihak pengurusan hospital dan seterusnya kepada pihak negeri dan KKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Semalam sebuah portal berita menyiarkan surat daripada seorang doktor di Hospital Sungai Buloh membangkitkan isu berkaitan beban yang perlu ditanggung oleh petugas kesihatan di hospital itu serta mendakwa mengalami kekurangan kemudahan asas seperti tiada bilik rehat dan makanan bagi petugas syif atas panggilan.

-BERNAMA