Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kes denggi di Selangor turun 38.5 peratus tahun lalu

SHAH ALAM, 4 JAN: Kes denggi di Selangor pada tahun lalu menurun kepada 44,635 berbanding 72,543 pada 2019, kata pengarah kesihatan negeri.

Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman berkata Petaling mencatat bilangan paling tinggi dengan 15,518 kes diikuti Hulu Langat (9,842), Klang (6,960) dan Gombak (6,642).

“Kes denggi turut dikesan di Sepang (2,400) Hulu Selangor (1,356), Kuala Selangor (925), Kuala Langat (865) dan Sabak Bernam (127).

“Selain itu sebanyak 37 kematian akibat denggi direkodkan di negeri pada tahun lalu berbanding 56 kes pada 2019,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan masyarakat supaya terus mengamalkan langkah pencegahan dengan membersihkan sekitar premis dan kediaman bagi mengelak pembiakan nyamuk Aedes.

“Luangkan hanya 10 minit seminggu, pastikan semua takungan air yang tidak digunakan dimusnahkan selain menutup takungan air kekal atau meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik,” katanya.