Categories
EXCO SELANGOR

Pastikan agensi telus, Selangor terbuka tindakan pihak berkuasa – EXCO

SHAH ALAM, 28 JAN: Kerajaan Negeri mengalu-alukan sebarang tindakan daripada pihak berwajib terhadap kakitangannya bagi memastikan ketelusan dalam semua agensi.

EXCO kerajaan negeri berkata ia susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas seorang pengarah pihak berkuasa tempatan yang didakwa menyalah guna kuasa memberi kelulusan kebenaran merancang kepada adik perempuannya lima tahun lalu.

“Kerajaan Negeri mengambil maklum siasatan dilakukan dan beliau telah diarahkan berhenti tugas sementara sehingga keputusan mahkamah dibuat,” kata Ng Sze Han dalam kenyataan.

Semalam, Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Perbadanan Kajang (MPKj), Datuk Nizam Sahari, 54, didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab mencadangkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh ditahan di SPRM Selangor semalam diwakili peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan, tidak membantah cadangan itu dengan Hakim Rozilah Salleh membenarkan permohonan pihak pendakwa dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 25 Februari.