Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rindu lebih dua bulan terubat, Jais benar solat jemaah di masjid

SHAH ALAM, 5 JAN: Kerinduan untuk bersolat jemaah di masjid terubat apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan ibadah itu dilaksanakan semula selepas lebih dua bulan larangan.

Jemaah Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13, di sini, Mohd Ghazali Mokhsin, 55, bersyukur  dengan kelonggaran tersebut yang membolehkan lebih ramai umat Islam datang ke masjid.

Jurutera yang menetap di Sungai Buloh itu merupakan antara jemaah yang hampir setiap hari mengunjungi masjid berkenaan berikutan tempat kerjanya berhampiran rumah ibadat itu.

Mohd Ghazali Mokhsin. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah, memang sudah lama saya mengharapkan masjid dibuka. Rindu lihat saf penuh walaupun ketika ini masih terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang menghadkan bilangan jemaah.

“Saya berharap lebih banyak jemaah dibenarkan untuk datang beribadah dan tiada lagi penutupan masjid dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Mohd Ghazali juga berkata di sebalik penekanan SOP, umat Islam harus istiqamah dan berdoa supaya ujian hebat dilalui ketika ini pulih sepenuhnya.

“Bukan bermakna kita perlu menafikan SOP sebaliknya keyakinan kepada Allah SWT harus dijaga,” katanya.

Pada 13 Oktober, solat Jumaat, fardhu berjemaah serta aktiviti mengimarahkan masjid dan surau di Selangor ditangguhkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Mulai 4 Januari, Jais membenarkan solat jumaat dan fardu di masjid dan surau institusi seluruh negeri dengan jumlah jemaah yang dihadkan.

Irfan Bakti Abu Salim. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Seorang lagi kariah, Irfan Bakti Abu Salim, 70, berkata suasana masjid dan surau yang sebelum ini ‘suram’ bertukar ceria dengan kehadiran jemaah meskipun aktiviti kuliah serta tazkirah masih ditangguhkan.

“Kawalan di pintu masuk masjid sangat ketat, mereka yang didapati tidak ikut SOP diarah pulang selain tidak dibenarkan masuk jika jumlah jemaah melebihi had.

“Bagaimanapun, SOP tetap perlu dipatuhi dan sama-sama berdoa supaya keadaan ini kembali seperti sedia kala,” katanya.

Sementara itu imam masjid, Mohd Ashyraf Jazari, 31, memaklumkan kebenaran solat di masjid tersebut mengguna pakai SOP ditetapkan Jais berkuat kuasa 1 Januari.

Mohd Ashyraf Jazari. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menurutnya, hanya 150 jemaah dibenar menunaikan solat fardu manakala 300 jemaah solat Jumaat.

“Muslimat masih belum dibenarkan solat di masjid dan surau di samping aktiviti kuliah dijalankan secara dalam talian,” katanya.