Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RM1.5 juta rancak sektor bekalan makanan, bantu golongan terjejas

SHAH ALAM, 25 JAN: Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM1.5 juta untuk merancakkan sektor bekalan makanan yang terjejas akibat Covid-19, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata insentif baucar petrol diberikan kepada nelayan, barangan pertanian (petani), makanan haiwan (pengusaha ternakan) dan bahan mentah (industri asas tani) dalam tempoh terdekat.

“Usaha ini diharap meringankan beban golongan tersebut selain memberi galakan untuk mereka terus berusaha meningkatkan hasil dan pendapatan.

“Kerajaan Negeri akan membantu golongan terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berterusan dan menyeluruh,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Pada 20 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan sejumlah RM2 juta untuk membantu meringankan beban golongan tersebut.

Selain baucar petrol, barangan pertanian, makanan ternakan dan bahan mentah, sejumlah RM500,000 turut disalurkan untuk program bakul makanan kepada 7,000 individu dalam sektor tersebut.

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.

Pelan dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi menggiatkan usaha memerangi Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.