Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Kes harian, sembuh di Selangor kekal lebih 1,000

SHAH ALAM, 14 FEB: Jangkitan Covid-19 di Selangor menurun kepada 1,103 kes hari ini berbanding 1,345 semalam namun kekal tertinggi dalam negara.

Ketua pengarah kesihatan berkata majoriti kes dikesan daripada saringan kontak rapat dengan 714 kes manakala 153 daripada kluster sedia ada.

“Sebanyak 98 kes daripada kluster baharu iaitu kluster Tapak Bina Jalan Setia, kluster Jalan Jelatek dan kluster Jalan Sepuluh.

“Sebanyak 235 kes lain-lain saringan dan satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Menurutnya, dua kematian baharu turut dilaporkan di negeri itu membabitkan seorang lelaki dan wanita warganegara masing-masing berusia 60 serta 83 tahun.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata terdapat pertambahan 1,383 kes pulih menjadikan keseluruhan sembuh 80,978.

“Setakat hari ini, sebanyak 5,749 kes aktif dengan kebolehjangkitan dengan dua daripadanya jangkitan luar negara,” katanya di Facebook.