Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa bah Sarawak 1,070 pagi ini

KUCHING, 6 FEB: Gelombang ketiga banjir yang melanda Sarawak sejak Selasa lepas terus menyaksikan peningkatan jumlah mangsa banjir dengan 1,070 setakat pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan sebanyak 18 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di negeri ini.

Daripada jumlah itu, satu PPS dibuka di daerah Tatau, empat di Simunjan, dua di Samarahan dan 11 di Serian.

Daerah Serian yang terletak kira-kira 60 kilometer dari pusat bandar Kuching kekal menjadi kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir dengan 785 mangsa daripada 255 keluarga dari kawasan itu direkodkan setakat ini.

Keadaan hujan lebat yang tidak menentu sejak beberapa hari lalu menyebabkan situasi banjir di Sarawak berlanjutan sehingga kini.

– BERNAMA