Categories
AGAMA AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS sasar kutipan RM875 juta penuhi keperluan asnaf

SHAH ALAM, 18 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM875 juta tahun ini bagi memenuhi golongan memerlukan, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Katanya sasaran berkenaan bakal disemak semula bergantung kepada keadaan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Ini kerana banyak syarikat yang terjejas dan kemungkinan ada individu yang dahulu boleh melakukan potongan zakat tetapi mungkin tahun ini tidak dapat berbuat demikian atas faktor ekonomi,” kata Saipolyazan Md Yusop kepada SelangorKini.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau turut memaklumkan jumlah keluarga fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS sehingga Januari lalu ialah 58,654 berbanding 58,327 pada Disember 2020.

“Jumlah ini dilihat bertambah sebelumnya, dan mungkin disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan telah menjejaskan punca pendapatan hampir kesemua kumpulan masyarakat.

“Ada yang dibuang kerja, gaji dipotong separuh, cuti tanpa gaji. Ramai di antara mereka yang sebelum ini tidak disenarai sebagai asnaf tetapi disebabkan keadaan ekonomi sekarang, mereka tergolong sebagai asnaf baharu,” katanya.