Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah: Bicara kes cemar Sungai Gong 2 Jun

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Perbicaraan kes empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat yang didakwa membuang bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang akan bermula 2 Jun depan di Mahkamah Sesyen Selayang di sini.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Siti Rohaida Che Hamid ketika ditemui di pekarangan mahkamah tersebut berkata Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin menetapkan enam hari iaitu pada 2, 3, 9, 10, 17 dan 22 Jun untuk perbicaraan kes empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik iaitu Yip Kok Wai, 54; Yip Kok Mun, 59; Yip Kok Kuin, 51 dan Yip Kok Wong, 61; serta pengurus syarikat tersebut Ho Voon Leong, 60.

“Pihak kami telah menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan dan kami akan memanggil lebih 20 saksi pendakwaan dalam kes ini,” katanya.

Peguam Datuk M Redza Hassan yang mewakili kesemua lelaki itu ketika ditemui di hadapan pintu pagar mahkamah mengesahkan perkara tersebut. Media tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik bicara mahkamah.

Sebelum ini, dalam tatacara operasi piawai pencegahan wabak Covid-19 yang dikeluarkan Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan liputan media semasa prosiding di mahkamah kecuali bagi kes-kes melibatkan kepentingan awam, mahkamah boleh mempertimbangkan untuk menyediakan bilik bagi siaran langsung atau menyediakan kemudahan liputan media melalui aplikasi zoom.

Mereka dituduh melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang dekat sini antara 2 dan 3 Sept tahun lepas mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka turut dituduh dengan niat bersama telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa serupa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah sama juga menetapkan 25 Feb untuk sebutan kes R. Nathan, 43, seorang kontraktor dan Lim Kian Aik, 43, pengarah sebuah syarikat yang didakwa atas pertuduhan melakukan sabotaj kepada perkhidmatan air di negeri Selangor melibatkan kesalahan terhadap keselamatan negara mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

TPR Ashyraf Ashyari Kamaruzaman berkata pada sebutan akan datang pihak pendakwaan akan memohon untuk memindahkan kes dua lelaki itu ke Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa bagi mencapai niat bersama telah melakukan sabotaj dengan niat untuk mendatangkan mudarat kepada perkhidmatan air di negeri Selangor di premis No 32, Jalan Velox 2, Taman Velox, Rawang, Gombak di sini antara 2 dan 10 Nov tahun lepas mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 124K kanun serupa yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Mereka juga menghadapi lima pertuduhan lain antaranya melepaskan bahan berbahaya ke dalam tempat rawatan kumbahan awam milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd di tempat dan tarikh sama mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga lima tahun atau denda hingga RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA