Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Paluan gendang pukau penonton program Tahun Baharu Cina dalam talian

SHAH ALAM, 13 FEB: Paluan gendang kumpulan kebudayaan ‘Hands Percussion Malaysia’ memukau penonton yang menyaksikan program sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Selangor secara maya malam ini.

Persembahan rancak bertajuk ‘Reunion’ membuka tirai acara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Dato’ Menteri Besar dan media dalam talian bermula jam 9 malam.

Bunyi paluan gendang tradisional yang sinonim dengan masyarakat Tionghoa itu hadir pada minit keenam sebelum warkah dan mesej positif disampaikan Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bukan itu sahaja, penonton turut disajikan dokumentari berkisar ‘Teochew Puppet’ oleh kumpulan Teochew Puppet dan Opera.

Dalam dokumentari tersebut, pemain boneka yang juga Pengarah Kumpulan Seni Boneka Teochew Kim Giak Low Choon, Goh Hui Ling berkongsi sejarah seni berkenaan.

Menerusi perkongsian itu, beliau berkata tradisi berkenaan mempunyai banyak nilai budaya Cina seperti semangat setia kawan, kasih sayang kepada ibu bapa dan taat setia dalam percintaan.

Program terbitan istimewa selama lebih sejam anjuran Kerajaan Negeri itu juga menampilkan beberapa persembahan nyanyian, tarian dan kebudayaan lain.

Antara persembahan program:

1. Emcees’ Talk Show – Soo Wee Seng & Soo Rui Yang
2. Reminiscence – Han Fong Dance Ensemble
3. The Conqueror – Sara Heng & Hands Percussion Malaysia
4. Don’t Worry, My Dear – Fresco Harmonica Ensemble
5. A New Bloom – Ong Chia Kun & Howz & Jimmy Ch’ng
6. Lion Dance Documentary – The King of Lion Dance
7. Lion Dance – Subang Hong Teck
8. Horse Dance – Shui Tung Fang Band
9. CNY Song 2021 – Tha Jie Ying