Categories
AGENDA NASIONAL

Polis jangka tiada pertambahan ketara jumlah kenderaan di Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangka tiada pertambahan besar jumlah kenderaan di atas jalan raya seluruh negara ketika cuti sempena sambutan Tahun Baru Cina hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata ini kerana pergerakan merentas negeri dan daerah masih tidak tidak dibenarkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau berkata sekiranya ada pertambahan kenderaan sekalipun ia adalah daripada sektor peruncitan yang dibenarkan kerajaan untuk merentas negeri baru-baru ini.

“Saya ingin memberi amaran bahawa mana-mana individu yang cuba merentas negeri atau daerah akan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988),” katanya kepada Bernama hari ini.

Azisman juga berkata setakat ini tiada cadangan untuk menambah anggota bagi memantau lalu lintas kerana jumlah yang ada ketika ini mencukupi bagi melaksanakan operasi sekatan jalan raya dan lain-lain operasi semasa sambutan perayaan itu.

“Pasukan pemantau bermotosikal dan kenderaan JSPT akan berada di jalan-jalan raya utama dan lebuhraya untuk memantau pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu polis Kuala Lumpur akan mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas sempena perayaan itu dengan melaksanakan Ops Lancar bermula 9 hingga 15 Feb ini.

Ketua JSPT Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata Op Lancar dilaksanakan bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan memantau pergerakan orang ramai di kawasan tumpuan antaranya jalan keluar dan masuk ke ibu negara serta pusat membeli-belah.

“Ops Lancar dilaksanakan oleh empat pasukan termasuk pasukan statik dan pasukan ‘mobile’ dengan kekuatan seramai empat pegawai dan 60 anggota,” katanya ketika dihubungi.

– BERNAMA