Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor catat 1,196 kes baharu Covid-19, empat kluster baharu

SHAH ALAM, 8 FEB: Sebanyak 1,196 kes positif Covid-19 dilaporkan di Selangor hari ini iaitu menurun berbanding semalam, maklum ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan itu membabitkan 589 daripada kluster sedia ada termasuk 80 dari kluster baharu.

“Manakala 397 kes pula saringan kontak rapat di samping 210 dari lain-lain saringan. Pertambahan itu menjadikan kes keseluruhan sebanyak 79,580,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya empat kluster baharu di Selangor direkod hari ini iaitu kluster Jalan Teknologi, Jalan Sungai Rasa, Tapak Bina Persiaran Mokhtar Dahari dan Persiaran Hulu yang kesemuanya membabitkan jangkitan di tempat kerja.

“Terdapat tujuh kematian di negeri itu membabitkan enam lelaki dan seorang wanita yang berusia lingkungan 53 hingga 92 tahun,” katanya.

Kes di seluruh negara pula merekodkan 3,100 kes baharu dengan 24 kematian iaitu jumlah tertinggi setakat hari ini.

Semalam, Selangor mencatatkan 1,606 kes yang semuanya merupakan jangkitan tempatan.