Categories
AGENSI SELANGOR

Tahun Baharu Cina: KDEBWM kutip lebih 7,700 tan sampah pukal

SHAH ALAM, 18 FEB:  KDEB Waste Management (KDEBWM) mengutip lebih 7,700 tan sampah di seluruh negeri sepanjang operasi kutipan sisa pukal sempena Tahun Baharu Cina.

Pengarah urusannya berkata sejumlah 591 tong sampah mudah alih ditempatkan di kawasan perumahan
sepanjang lapan hari operasi bermula 8 Februari lalu.

“KDEBWM bekerjasama dengan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengatasi lambakan sampah pukal seperti perabot serta perkakasan elektrik rosak selain memudahkan penduduk membuat perancangan awal.

“Sepanjang tempoh itu juga kerja-kerja kutipan sampah domestik dan pembersihan awam tetap berjalan mengikut jadual seperti biasa semasa musim perayaan,” kata Ramli Mod Tahir pada 16 Februari.

Beliau turut menasihatkan masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dengan membuang sampah di tempat sepatutnya terutama di kawasan pangsapuri selain mengasingkan sampah domestik dan pukal.

Perkhidmatan bantuan kutipan sampah pukal KDEBWM bermula pada 2017 setiap kali menjelang musim perayaan bagi memudahkan penduduk membuang barangan lama yang tidak digunakan.