Categories
AGENDA GLOBAL

Tentera: Suu Kyi sihat, ditahan tempat selamat

YANGON, 17 FEB: Kes membabitkan Presiden Myanmar U Win Myint dan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi akan dilaksana selaras dengan undang-undang, kata seorang pegawai kanan tentera pada sidang media di Nay Pyi Taw pada Selasa.

“Aung San Suu Kyi dan U Win Myint ditahan di tempat yang selamat dan berada dalam keadaan sihat,” kata ketua pasukan media Majlis Pentadbiran Negeri dan timbalan menteri maklumat Brigadier Jeneral Zaw Min Tun, pada sidang media pertama majlis itu selepas kuasa negara diserahkan kepada Panglima Angkatan Tentera Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing.

Beberapa urusan perlu ditangani dengan mengambil tindakan undang-undang dan majlis tidak akan melakukan perkara yang melampaui undang-undang, menurut Min Tun lapor Agensi Berita Xinhua.

Perbicaraan mahkamah maya pertama Presiden dan Suu Kyi, yang direman dalam tahanan, diadakan pada Selasa, kata peguam kedua-dua pemimpin, Khin Maung Zaw, kepada Xinhua.

Suu Kyi awalnya didakwa di bawah Undang-Undang Eksport dan Import, manakala satu kes tambahan diajukan kemudian terhadapnya kerana melanggar Undang-Undang Pengurusan Bencana Alam. Presiden juga dituduh melanggar Undang-undang Pengurusan Bencana Alam, kata peguam itu.

Perbicaraan berikutnya akan diadakan pada 1 Mac, kata peguam itu.

Perintah darurat dikenakan selama setahun di negara itu setelah tentera Myanmar pada 1 Februari melancarkan rampasan kuasa dan menahan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi dan Presiden Win Myint, dari Liga Demokratik Kebangsaan (NLD) atas tuduhan menipu undi ketika 8 November.

Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan Myanmar menolak tuduhan itu.

Awal bulan ini, Majlis Pentadbiran Negeri membuat perubahan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan, untuk menyemak semula proses pilihan raya umum.

– BERNAMA