Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bazar, kampung budaya tarikan baharu Sungai Klang

KLANG, 24 MAC: Beberapa projek pembangunan pelancongan berdampak tinggi akan dilaksana di Sungai Klang tahun ini bagi memajukan zon ekonomi maritim Selangor.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd Syaiful Azmen Nordin berkata inisiatif melalui Gerbang Maritim Selangor (SMG) meliputi bazar dan perkampungan budaya.

Menurutnya, projek rintis ladang urban organik di tepian sungai juga akan diperkenal dan dimasukkan dalam fokus usahawan agro Selangor bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

“Projek berkaitan diyakini meningkatkan lagi nilai Sungai Klang dan memajukan kedudukan maritim yang akan menarik minat pelabur untuk menjadi sebahagian daripada masa depan Selangor,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas melawat Taman Awam Pangkalan Batu di sini semalam berkata kawasan seluas 13,000 meter persegi itu dinaik taraf bagi mewujudkan ruang awam yang lebih terbuka.

Syaiful menjelaskan taman berkenaan turut dilengkapi lokasi permainan interaktif bertemakan lanun yang mampu merangsang imaginasi kanak-kanak.

“Selain itu, terdapat sebuah pusat pendidikan tanah lembab (educational wetland) bagi menunjukkan bagaimana air sungai boleh dipulih secara semula jadi dan organik,” katanya.

Dalam pada itu, Syaiful memaklumkan perkhidmatan teksi sungai SMG akan dilancarkan dalam masa terdekat dan jeti Pangkalan Batu bakal menjadi stesen utama kemudahan tersebut.

Menurutnya, taman Mangrove Point iaitu taman alam semula jadi pertama di negara ini juga bakal dibuka hujung tahun ini.