Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Meru peruntuk RM100,000 agih bantuan makanan kepada penduduk terjejas

SHAH ALAM, 25 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru memperuntuk RM100,000 bagi bantuan bakul makanan kepada mangsa terjejas akibat penularan Covid-19.

Wakil rakyat Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata jumlah itu membabitkan sumbangan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan individu hilang punca pendapatan.

“Kita menyasarkan kira-kira 2,000 keluarga dibantu bagi memastikan keperluan mereka mencukupi walaupun dalam situasi pandemik,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, bantuan diagih berperingkat sama ada secara terus kepada penerima atau melalui wakil penduduk seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

Selain bantuan makanan, beliau berkata pihaknya akan meneliti dari semasa ke semasa jenis sumbangan yang bersesuaian berdasarkan keperluan rakyat.

“Bagaimanapun, bantuan perubatan, perniagaan atau khidmat kaunseling tetap disediakan kepada penduduk sekitar Meru, mereka yang memerlukan boleh hadir ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru,” katanya.