Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Gerbang Maritim Selangor dijangka hasil pelaburan RM1 bilion – MB

KLANG, 23 MAC: Kerajaan Negeri menjangka pelaburan berjumlah kira-kira RM1 bilion bakal diperoleh menerusi projek pembangunan Gerbang Maritim Selangor (SMG) di Sungai Klang menjelang 2030.

Dato’ Menteri Besar berkata sungai tersebut dan kawasan tebingnya memiliki prospek besar untuk membuka pelbagai peluang bernilai tinggi kepada pelabur serta peniaga.

“Ketika ini, kita sedang berunding dengan beberapa pihak bagi melaksanakan aktiviti ke arah memacu usaha menghidupkan semula Sungai Klang.

“Sungai sepanjang 56 kilometer sudah kita kenal pasti lokasi seluas 242.811 hektar di bahagian pesisirnya yang berpotensi sebagai kawasan pembangunan pada masa depan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyelusuri Sungai Klang dan melawat Taman Awam Pangkalan Batu yang merupakan salah satu daripada lima projek pemangkin di bawah SMG di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata empat teras utama digariskan sebagai pemacu utama projek berkenaan merangkumi pembersihan dan ketersambungan sungai serta pembangunan juga pemuliharaan.

“Sudah pasti kita akan lakukan (pembangunan) secara berhemah dan berhati-hati untuk mengekalkan kualiti air Sungai Klang.

“Oleh sebab itu, kita sudah memulakan kerja pembersihan dan menaik taraf di kawasan sungai tersebut,” katanya.